Friday, 26 August 2016


AMALAN BERGOTONG-ROYONG DAPAT    MEWUJUDKAN , MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DIKALANGAN KAUM.

PENDAHULUAN 
            Konsep gotong-royong merupakan satu konsep yang dianggap unsur terpenting dalam kebudayaan masyarakat kita sejak dahulu. Semua pihak memahami kepentingan amalan ini diamalkan terutama ketika kegawatan ekonomi melanda sesebuah negara itu. Amalan yang sudah begitu lama tertanam dalam naluri masyarakat kita mula dilupakan terutama oleh kalangan remaja kita. Maka, apakah kebaikan-kebaikan yang terjelma menerusi amalan murni ini?
Kebaikan mengamalkan amalan gotong-royong atau bekerjasama ini ialah amalan ini mewujudkan semangat positif antara ahli masyarakat terutama untuk memastikan sesuatu tugasan itu mampu dilaksanakan dengan berkesan. Amalan ini memberikan satu semangat kepada masyarakat bahawa tugasan itu walau berat pun akan mampu diselesaikan dengan begitu baik sekali kerana semua pihak menghulurkan bantuan. Keadaan ini menjadikan semua perkara yang dialami oleh masyarakat dapat diatasi dalam masa yang singkat dan mudah sahaja. Jelaslah, amalan ini memberikan satu suntikan baru tentang konsep bekerjasama antara masyarakat terutama di kawasan urbanisasi
Dalam kehidupan sekarang yang semuanya berkait dengan kewangan sudah pasti amalan gotong-royong ini mampu menjimatkan kos dan tenaga ketika menjalankan sesuatu majlis itu. Bayangkan majlis perkahwinan yang diadakan oleh satu kawasan kejiranan boleh menjimatkan kos kepada pasangan pengantin kerana semua pihak memberikan bantuan yang boleh mengurangkan belanja mereka. Pada masa yang sama juga bantuan tenaga manusia turut dihulurkan yang menjadikan suasana perkahwinan lebih meriah dan diingati selalu. Maka, konsep kerjasama mampu menjadikan kos sesuatu majlis itu lebih rendah daripada kebiasaannya.
ISI KANDUNGAN
Mengikut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud tolong-menolong atau kerja bersama-sama. Aktiviti gotong-royong masih banyak dilakukan di kampung-kampung dan kurang dilakukan di bandar pada masa ini. Pada pendapat saya, aktiviti gotong-royong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di negara kita. Terdapat beberapa kebaikan amalan gotong-royong jika diamalkan dalam kehidupan seharian. Sejak dari dulu lagi, khususnya masyarakat Melayu, gotong-royong diamalkan sebagai sebahagian daripada cara hidup atau adat resam mereka. Kini, selepas kemerdekaan atau lebih tepat lagi, selepas pengwujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1973, gotong-royong telah dimartabatkan sebagai salah satu nilai sosioekonomi kebangsaan dalam usaha pembentukan bangsa Malaysia.
            Perpaduan antara masyarakat harus kukuh untuk negara pergi lebih jauh dalam lapangan dunia moden. Lebih rumit, masyarakat di Malaysia masyarakat berbilang kaum. Maka, harus ada satu aktiviti yang berguna untuk merapatkan persefahaman antara kaum itu, dan tidak dapat dinafikan bahawa gotong-royong mampu membentuk masyarakat yang kondusif. Melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama membersihkan taman permainan, longkang, mahupun rumah ibadat, akan wujud rasa kekitaan yang tulen.
Gotong-royong merapatkan ahli masyarakat kepada nilai-nilai murni yang suci, yang tidak ditemui di rumah malahan di pejabat. Rasa kekitaan, rasa prihatin, dan penyayang sesama individu dalam masyarakat akan membantu hasrat kerajaan untuk negara mara lebih ke depan dalam era globalisasi ini. Ini berdasarkan kesan positif gotong-royong yang sebenarnya membantu menangani gejala-gejala buruk dalam masyarakat seperti penagihan dadah dan kecurian, lebih-lebih lagi gotong-royong melibatkan penglibatan menyeluruh ahli masyarakat.Bak kata pepatah Melayu; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Demikian juga tentang kerja gotong-royong ini. Semua orang mengetahui bahawa sesuatu kerja yang besar buatannya dan juga belanjanya akan menjadi enteng dan kecil kosnya jika dilakukan bersama-sama. Itulah prinsip gotong-royong. Pihak kerajaan telah menetapkan bahawa setiap penempatan warganegara di Malaysia mempunyai satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK). Fungsinya untuk menjana kegiatan gotong-royong setempat, khususnya untuk kepentingan umum. Isu ini jika ditelusuri secara mendalam, banyak wang, masa, dan tenaga telah dijimatkan kerana ahli masyarakat akan bekerjasama mencapai sesuatu perkara. Contohnya, jika sesuatu tempat itu menjadi kotor kerana sampah, mereka akan bekerjasama membersihkannya dan tidak perlu membuang masa dan wang mengupah orang lain membersihkan atau terpaksa menanggung belanja perubatan kerana sakit akibat kesan jangka panjang daripada gundukan sampah yang tidak sempurna diuruskan itu. Tidak kiralah sama ada menyumbangkan derma atau tenaga untuk gotong-royong, kesan gotong-royong kepada masyarakat seluruhnya cukup bermakna baik untuk pembangunan material masyarakat mahupun pembangunan insan.
                Setelah puluhan berlalu, gotong-royong kian tandus fungsinya di kalangan masyarakat. Masyarakat masa kini dampaknya lebih individualistik dan materialistik. Mereka cukup menyendiri lalu menganggap bahawa segala apa yang berlaku di sekeliling mereka tidak akan mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian mereka. Mereka mula mencari wang dan pangkat kononnya untuk memperoleh keselesaan dalam kehidupan.”Ada kerja, ada gaji” seakan-akan menjadi prinsip hidup masyarakat moden hari ini. Masyarakat moden kini juga kian pudar nilai-nilai kejiranannya. Ramai juga yang terlalu sibuk dengan urusan pejabat. Tidak mustahil, mereka tidak mengetahui nama jirannya apatah lagi mengenalinya dengan lebih mendalam.
          
               Ketidakfungsian badan-badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan, dikatakan punca gejala ini berlaku. Setiap tahun, kerajaan menguntukkan beberapa juta ringgit untuk pembangunan masyarakat dan malangnya, perbelanjaan itu tidak sampai kepada golongan sasaran. Agensi-agensi kerajaan yang ke arah ini kurang mengambil usaha untuk membantu masyarakat dalam perkara yang melibatkan kerjasama segenap lapisan masyarakat. Nasib yang sama turut menimpa NGO yang kini berjumlah sekitar 40 000 buah. Mereka dipercayai hanya bertindak seperti “melepaskan batuk di tangga”. Mereka tidak gemar turun padang, berjumpa dan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk menolong menyelesaikan masalah mereka. Ada juga NGO yang dipergunakan sebagai “batu loncatan” oleh pihak tertentu untuk meraih kepentingan peribadi.

Situasi seperti ini sesungguhnya amat memalukan, namun itu tidak bermakna kita harus lepas tangan untuk mencari penyudah isu-isu yang kian membarah ini. Sejak di bangku sekolah lagi, amalan murni ini perlu diterapkan agar kerja murni bermasyarakat ini akan terus lestari seiring dengan kemajuan negara. Anak-anak kecil harus dibiasakan bersama-sama masyarakat luar dari rumah meraka agar keberadaan mereka dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat keseluruhannya dalam usaha melaksanakan sesuatu yang berfaedah demi kesejahteraan umum. Sekolah sebagai rumah kedua para generasi muda wajar menerapkan amalan mulia ini dalam aktiviti-aktiviti kesekolahan seperti Hari Guru, Sukan Tahunan Sekolah, dan Hari Anugerah Cemerlang. Para pelajar akan menguruskannya dan para guru hanya bertindak sebagai penasihat.

            Melalui kerjasama, setiap insan itu akan lebih matang tentang hubungan sosialnya selain dapat menyelidiki potensi diri secara yang lebih meyakinkan.badan-badan kerajaan atau sukarelawan harus bergerak lebih maju dan efisien dalam usaha memugar semula semangat gotong-royong kembali. Ceramah, forum, dan kempen kejiranan yang tersusun dan berkala boleh diusahakan sebagai satu inisiatif menyebarkan maklumat yang berguna tentang gotong-royong kepada orang ramai. Lebih elok lagi jika mereka turut bersama-sama masyarakat setempat membantu rancangan mereka. Contohnya, sebuah pertubuhan sukarela di Seksyen 17 hingga Seksyen 22 Petaling Jaya bekerjasama dengan warga setempat mengutip plastik, kaca, dan kertas terpakai untuk dikitar semula. Pencapaian badan sukarela ini patut diberi pujian. Tidak terkecuali, syarikat-syarikat swasta sewajarnya menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan membantu masyarakat umum mengatasi masalah mereka. Walaupun sehingga kini peranan syarikat swasta dalam kesejahteraan masyarakat masih samar-samar, namun fungsi sosial mereka akan lebih jelas pada masa akan datang berdasarkan situasi masa kini dan isentif kerajaan.

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam.

Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

            Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yangseperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .

            Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebabbulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat

Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja yang kita lakukan. Dengan membuat kerja secara gotong-royong, kerja yang kita lakukan akan lebih senang. Di kampung, majlis yang diadakan biasanya dibuat secara gotong-royong seperti majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis yang diadakan itu,, penduduk kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan mendirikan khemah.

  Selain itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam membersihkan kawasan balai raya atau sekolah. Apabila kerja yang kita lakukan cepat siap, secara tidak langsung kita dapat menjimatkan masa dan tenaga.

                Amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam sesetengah keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh peratus. Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong, kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan. Selain itu, kita juga boleh menjimatkan perbelanjaan membina tempat menunggu bas, jika dibuat secara gotong-royong.

            Gotong royong adalah aktiviti berkumpulan atau bersama-sama secara sukarela. Amalan ini telah diprakltikan dan di warisi sejak zaman berzaman. Tetapi amalan ini kian dilupakan oleh generasi alaf baru yang hanyut dengan keseronokan dan keselesaan yang tiada batasan. Berapa peratus golongan muda yang mengetahui maksud gotong royong  dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Menyedari akan hakikat budaya tersebut makin dilupakan dari hari ke sehari, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menilhamkan Program My Beautiful Malaysia di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan 8 (National Blue Ocean Strategy 8). Program My Beautiful Malaysiamelibatkan 1juta sukarelawan yang dijadikan satu pelantar dan titik permulaan untuk menyatu dan menggerakkan seluruh tenaga belia yang lebih prihatin dan ikhlas melalui aktiviti gotong-royong secara sukarela dalam usaha mengindahkan dan membersihkan kawasan yang tidak terpelihara seperti pusat pelancongan, kawasan perumahan, taman rekreasi dan sebagainya.
7
Aktiviti gotong royong ini sebenarnya dapat menjalinkan dan memperkukuhkan semangat kejiranan. Kehidupan masyarakat sekarang kebanyakannya bertunjangkan meterialistik dan individualistik sehingga tidak mempunyai masa untuk mengenali dan berbual-bual dengan jiran masing-masing.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran-jiran tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama akan bersama-sama menjalankan aktiviti yang sama.Bergotong royong juga boleh memperindahkan tempat tinggal dan kawasan persekitaran menjadi bersih. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Amalan gotong royong juga dapat membersihkan kawasan kediaman daripada menjadi sarang pelbagai penyakit seperti aedes.

Kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan dan dipupuk sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .
 Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan kita. Amalan nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Antara nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan kerajinan. Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam masyarakat.

                Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong-royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan kaum di kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.


            Sebagai kesimpulan, aktiviti gotong-royong mempunyai beberapa faedah kepada masyarakat dan negara. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu ‘Maufakat Membawa Berkat’. Pada pendapat kami, pihak kerajaan boleh juga memupuk amalan gotong-royong melalui kempen yang diadakan di televisyen dan surat khabar secara berterusan. Aktiviti gotong-royong ini wajar diamalkan semula. Oleh itu, semua pihak mestilah memainkan peranan dengan mengamalkan budaya hidup bergotong-royong ini dalam kehidupan seharian. Amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan

PENUTUP

Akhir sekali, jika amalan ini diamalkan dalam masyarakat sudah pasti tahap perpaduan akan meningkat dengan begitu ketara kerana semua ahli dalam sesebuah masyarakat itu saling kenal mengenali antara mereka. Kekerapan mereka berjumpa ketika melakukan sesuatu aktiviti menyebabkan mereka saling memahami akan kerenah masing-masing yang mengukuhkan perpaduan antara mereka dalam jangka masa panjang. Jelaslah, amalan yang sudah lama diamalkan ini berupaya untuk menghidupkan semua semangat perpaduan antara kaum di negara ini yang mula dilupakan oleh penduduknya.

           Kalau tahap perpaduan begitu tinggi sudah pasti keamanan negara akan berkekalan kerana semua ahlinya memahami satu sama lain dengan mendalam. Keamanan negara yang stabil ini amat penting untuk memudahkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan tanpa adanya sebarang gangguan yang menguggat kelancaran projek tersebut. Semua pihak akan menerima kesan positif daripada keamanan yang wujud ini terutama perkembangan bidang ekonomi yang pastinya amat memerlukan keamanan yang sejati. Sesungguhnya, amalan gotong-royong menjadikan negara ini aman dan membolehkan semua pihak menikmati kemakmuran ekonominya.

            Kesimpulannya, amalan yang murni ini harus digalakkan terutama dalam kalangan remaja yang semakin hari semakin melupakannya. Sikap mengutamakan diri dan kebendaan telah mengaburi remaja akan pentingnya amalan ini dihidupkan semula dengan segera. Konsep individualistik yang begitu kuat diamalkan di negara barat dan kini melimpah ke negara kita harus dikaji dengan teliti supaya konsep ini tidak mengikis amalan bergotong-royong ini. Hidup dalam masyarakat lebih bermakna daripada hidup bersendirian.

RUJUKAN














LAMPIRAN















l




No comments:

Post a Comment